Home » Bahagian Berita » Berita Semasa » ASPURA BLOK D TERBAKAR
ASPURA BLOK D TERBAKAR

ASPURA BLOK D TERBAKAR

MARANG: Hampir 90 pelajar lelaki Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang kehilangan tempat tinggal, pakaian serta buku pengajian sekolah apabila sebuah bangunan asramanya hangus terbakar.

 

(Api yang marak memusnahkan sama sekali salah sebuah asrama pelajar MDQ)

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9.40 pagi ketika semua penghuni asrama di blok B tersebut berada di kelas pengajian masing-masing. Harakahdaily dimaklumkan, kesemua pelajar asrama berkenaan tinggal sehelai sepinggang kerana api terlalu marak sehingga gagal menyelamatkan harta bendanya.

Pengerusi Dana Pembangunan MDQ, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bangunan asrama lelaki tersebut berusia lebih 28 tahun sejak sekolah MDQ ditubuhkan.
Katanya, asrama yang terbakar itu menempatkan pelajar-pelajar lelaki tingkatan dua dan tiga dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.
“Ini bangunan kayu yang dijadikan asrama pelajar lelaki sejak lebih 28 tahun lalu apabila sekolah (MDQ) ditubuhkan di Rusila ini. Semua pelajarnya, tinggal sehelai sepinggang dan kehilangan tempat tinggal, pakaian, buku-buku sekolah dan harta benda yang tidak dapat diselamatkan,” ujarnya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, api terlalu marak dengan tiup angin yang kuat menyukarkan kerja-kerja memadam kebakaran tersebut. Seorang penghuni asrama, Mohd Afifuddin Awang Luding, 16, mula menyedari kebakaran asramanya ketika keluar ke kantin asrama. Namun, katanya usaha para pelajar dan orang kampung untuk memadam kebakaran tersebut tidak berjaya kerana api besar dan angin kencang.

“Saya dan semua rakan-rakan kini tinggal sehelai sepinggang, pakaian hilang, buku-buku dan harta benda lain habis hangus terbakar. “Ini (kebakaran) sudah ditakdirkan dan kami redha dengan ujian dan musibah yang tentu ada hikmah Allah SWT,” ujarnya. Menurutnya, perasaan sedih dan sayu turut menyelubungi hati kerana sayang kepada asrama dan sekolah MDQ.

Manakala, Mudir MDQ, Ustaz Yasin Salleh menyifatkan kebakaran asrama tersebut suatu ujian yang mempunyai hikmat tertentu. Katanya, mungkin selepas ini akan datang sumbangan orang ramai bagi membolehkan pihak pengurusan sekolah menyiapkan satu blok asrama lelaki yang masih dalam pembinaan.

“Saya merayu dan memohon para dermawan, tokoh korporat dan orang ramai yang simpati dengan pusat pengajian Islam (MDQ) ini untuk membantu kami menyiapkan sebuah lagi blok asrama untuk pelajar lelaki,” ujarnya.

Menurutnya, sumbangan orang ramai boleh diteruskan melalui akaun di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Ma’ahad Darul Quran A/C: 13017010011956 atau hubungi 019-985 4348 (mudir).

Pada kejadian tersebut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama para pelajarnya dan penduduk kampung berusaha memadamkan kebakaran tersebut dengan air sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba.